Sunday, April 29, 2012

Rasulullah SAW Sangat Romantis

Kita inginkan suami yang tenang seperti Zikir (Tentang Dhia), yang romantik seperti Seth (Nora Elena) dan penyabar seperti Adam (AdamMaya)… Tetapi kita lupa ikon utama umat Islam yang mengajar erti percintaan yang terunggul dengan sifatnya yang lebih tenang, lebih romantik dan lebih penyabar! Yang dimaksudkan ialah junjungan besar Nabi Muhammad SAW. “Aku mengigit sepotong daging, lalu sisa gigitan itu diambil oleh Nabi SAW, lalu baginda pun mengigitnya pada bahagian yang aku gigit tadi” Nah !!! Betapa romantiknya Rasulullah SAW dengan isteri. Lebihan makanan mereka tidak dijadikan sebagai sesuatu yang menghalang nabi untuk makan dari makanan tersebut. Dengan hadis ini, tauladan yang boleh diambil adalah, bagaimana Nabi SAW telah menjadikan makanan sebagai cara untuk melahirkan perasaan mesra antara suami isteri. Tindakan sebegini juga sebenarnya telah melahirkan perasaan cinta yang teguh. Berjaya meremajakan dan memperhangatkan lagi perasaan sayang, lebih-lebih lagi dalam mengharungi kehidupan rumah tangga yang penuh dengan ujian. Disamping itu juga, tindakan sebegini sebenarnya dapat melahirkan kesetiaan dan keyakinan yang penuh antara kedua suami dan isteri. Ini kerana, ia tergambar melalui perasaan tidak berkira atau tidak merasa jijik dan keji terhadap lebihan makanan dan minuman antara pasangan sehingga menganggap ianya seperti lebihan makanan sendiri. Jika keadaan ini sering berlaku, ia menunjukkan betapa kukuh dan teguhnya perasaan cinta antara dua suami isteri, dan ini juga menjadi bukti nyata bahawa cinta dan sayang yang lahir dari kedua-dua suami dan isteri tersebut adalah cinta yang ikhlas dan sejati. Oleh itu, suami dan isteri sepatutnya menjadikan tindakan Nabi SAW ini sebagai tauladan demi melahirkan perasaan cinta yang tidak hipokrit, lebih-lebih lagi bagi mencari redha Allah SWT.

No comments:

Post a Comment